Wednesday 14 January 2009

SATU PERINGATAN PADA DIRI SENDIRI


SIHAT TUBUH UNTUK MUDAH BERIBADAH.


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi maha penyayang.


Assalamualaikum wbh


Kira-kira 2 bulan lepas seorang pembaca Laman Emjay diizinkan Allah bertemu dengan saya. Hamba Allah ini saya namakan Mat sempat menceritakan masalahnya melalui email sebelum pertemuan ini. Berat juga masalah Mat ini sudahlah kesihatan terganggu sehingga terpaksa berhenti kerja. Mula berniaga namun bagai orang kata berniaga bulu kasap, hujung dapat pangkal lesap. Mencari pekerjaan baru masih belum dapat.


Di dalam pertemuan tersebut, Mat menceritakan masalah yang dihadapinya. Dadanya pada bahagian kedudukan jantung di rasakan sakit. Pada waktu sakit tersebut kadang-kadang dapat dilihat bahagian dada tersebut turun naik dengan laju. Apa lagi Mat terus ke klinik membuat pemeriksaan kesihatannya. Setelah selesai mengadu masalah dan melakukan pemeriksaan termasuk ujian electrocardiogram (ECG or EKG), doktor pun berkata “MAT, ANDA SIHAT DAN TIADA SEBARANG MASALAH!”


Baliklah Mat ke rumah dengan seribu persoalan. Doktor kata sihat tetapi perkara yang dialami adalah serius. Pening Mat memikirkan perkara ini.


Beberapa bulan selepas itu, Mat sakit dada lagi dan dapat dirasakan jantungnya mengepam dengan laju. Peluh keluar di dahi. Nafas dirasakan sesak. Terasa macam nak mati. Mat pergi lagi ke klinik membuat pemeriksaan termasuk ujian electrocardiogram (ECG or EKG). Sekali lagi doktor berkata “MAT, ANDA SIHAT DAN TIADA SEBARANG MASALAH!”. Mat sangat sedar bahawa beliau tidak sihat kerana apa yang dilaluinya adalah masalah serius namun doktor mengatakan beliau sihat. Adakah sakit yang dialaminya ini sekadar mainan perasaan?


Beberapa bulan selepas kes kedua berlaku, kes yang sama berulang lagi. Dan selepas berubah doktor, hasilnya tetap sama. Doktor pun berkata “MAT, ANDA SIHAT DAN TIADA SEBARANG MASALAH!”


Tidak puas hati dengan tiga keputusan analisa dari doktor, Mat membuat pemeriksaan lebih lanjut untuk mengetahui masalah sebenar yang sedang dialaminya. Pemeriksaan oleh doktor kali ini luar biasa. Doktor memasang electrode pada anggota tubuhnya namun kali ini electrode ini perlu kekal di tubuh Mat untuk tempuh 24 jam. Selepas selesai dipasang berbagai electrode dan perlatan lain, Mat disuruh balik dan datang semula selepas 24 jam untuk ditanggalkan electrode dan data yang terkumpul bakal dianalisa oleh doktor. Selama 24 jam ini Mat tidak boleh mandi.


Keesokan hari selepas 24 jam menjalani pengumpulan maklumat, Mat datang semula menemui doktor untuk memperoleh hasil kajian. Setelah dianalisis doktor pun berkata “MAT, JANTUNG ANDA SIHAT 100% DAN KALAU SDR NAK KAHWIN SATU LAGI PUN BOLEH”. Keputusan pemeriksaan doktor kali ini lebih menyakitkan hati. Mat memang tahu dirinya ada menghidapi masalah kesihatan yang berat namun doktor masih mengatakan dirinya tiada sebarang masalah.


Puas berusaha dengan doktor tetapi tidak menghasilkan keputusan yang memuaskan mendorong Mat berusaha secara tradisional dan bermulalah episod syirik. Setengah pengamal perubatan mengaku melakukan secara Islam namun tetap memberikan tangkal termasuk garam dan lada hitam. Ada antara pengamal perubatan tradisional ini mengatakan bahawa “MAT, ENGKAU INI DAH KENA PERBUATAN ORANG ........”. Memang begitulah kebiasaannya apabila kita menemui bomoh. Apa segala penyakit pun yang dialami hatta batuk, bomoh akan berkata “ini adalah perbuatan orang”. Bomoh adalah syaitan dan syaitan manusia ini berusaha memporak-perandakan manusia dengan membuat fitnah untuk mengapi-apikan sesama manusia.


Namun setelah berusaha menemui beberapa “BOMOH”, kes dadanya masih berulang. Akhirnya Allah meredhakan Mat untuk bertemu dengan saya. Setelah menceritakan sejarah masalah dadanya, saya mula menyoal Mat berkenaan tabiaat permakanannya. Alhamdulillah setelah puas menyoal, saya memperolehi jawapan yang dikehendaki.


Mat sememangnya dari kecil amat gemar makan margarine. Kalau makan pisang, pisang tersebut akan terlebih dahulu dibelah dua dan dimasukkan margarine ditengah-tengahnya. Pada diri Mat, pisang campur margarine ini amat sedap. Makan roti dengan margarine dan makan apa pun dengan margarine. Tabiaat ini berterusan sehingga waktu Mat bertemu saya.


Apabila Mat masuk kerja di tempat kerja yang lalu, tempat kerjanya menyediakan minuman dengan lengkap disediakan air panas, teh, kopi dan krimer. Apa lagi barang percuma, apabila ada kelapangan Mat akan membuat air teh atau kopi yang dicampur krimer. Beberapa minggu setelah memulakan tabiaat tambahan mengambil krimer inilah Mat telah diserang sakit dada di bahagian dada sebelah kiri. Tabiaat ini berjalan berterusan, margarine di rumah dan krimer ditempat kerja.


Seterusnya setelah puas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Mat, saya pun mula memberikan hasil diagnosa saya:

Mat telah mengalami masalah jantung disebabkan permakanan yang merosak iaitu margarine dan krimer. Masalah jantung ini belum sampai ke tahap kronik. Apabila mencapai tahap kronik insyaAllah doktor dapat menemuinya namun pada tahap ini adalah sukar untuk doktor mengenalpastinya. Apabila doktor tidak dapat mengenalpastinya maka mereka mengatakan jantung tidak bermasaalah sedangkan hakikatnya ialah jantung Mat sudah separuh jalan bermasalah atau sudah mencapai tahap 50%.


Untuk merawati masalah jantung Mat, saya menasihatinya seperti berikut:

  1. Elakkan makan margarine, krimer dan segala makanan yang mengandungi krimer dan margarine.
  2. Tukar minyak masak di rumah kepada minyak jagung
  3. Elakkan makan makanan bergoreng, jika teringin gunakan minyak jagung.
  4. Elakkan makanan bersantan
  5. Elakkan makan pisang
  6. Elakkan mandi selepas makan
  7. Elakkan makan ais krim, burger, naget, sosej dan makanan segera / rapu lain.
  8. Elakkan makan kentang goreng terutama sekali French Fries sama ada yang dibeli di Mc Donald atau yang dibeli beku. Potato chip termasuk Pringles amat dilarang sama sekali
  9. Elakkan kacang goreng bergaram
  10. Elakkan kulit ayam, conet ayam
  11. Elakkan makan lemak daging (tetel). Lemak daging pada bahagian tengah satay daging juga perlu dielakkan. Setiap kali membuat sup tulang atau sup daging, pastikan minyak dilapisan atas sup tersebut dibuang dengan menceduknya.
  12. Kurangkan atau hadkan pengambilan daging. Tambahkan diet ikan.
  13. Elakkan nasi minyak dan nasi beriani kerana mengandungi margarine. Vanaspati juga dihasilkan dari minyak kelapa sawit.
  14. Elakkan pulut, ubi, keladi, keledek
  15. Makan sayur-sayuran terutama sayuran pahit termasuk pegaga, peria dan sebagainya dan jadikan kemestian setiap kali makan.
  16. Minum air misai kucing sekali sehari
  17. Makan kapsul habbatussauda mengikut aturannya.
  18. Ambil segenggam kacang hijau, dibasuh, direndam kira-kira 5 – 7 minit lalu direbus tanpa garam sehingga masak dan bukan sehingga lembut dan pecah kulitnya. Buang airnya dan makanlah setiap hari untuk kira-kira 3 bulan. Setelah tempuh ini boleh kurangkan kekerapan memakannya.
  19. Masukkan halba kira-kira kurang dari ¼ sudu teh untuk kira-kira keluarga yang sederhana – 4 dewasa 2 kanak-kanak pada setiap memasak beras.
  20. Ambil buah mengkudu yang sederhana besar yang sudah masak, basuh dan belah kepada 4 bahagian. Ambil satu bahagian dan masukkan ke dalam blender. Minumlah waktu pagi. Ulang satu bahagian lagi waktu malam. Rehat satu hari pada hari kedua dan ulang perkara yang sama pada hari ketiga. Ulangi perkara yang sama iaitu satu hari makan dan satu hari rehat. Selepas 3 minggu lakukan perkara yang sama dengan 2 hari rehat (berbanding 1 hari rehat dahulu). Selepas dua bulan, bolehlah minum seminggu sekali.

No comments:

Post a Comment